Bro & Moe - AuratBro & Moe - JalanrayaBro & Moe - KertasBro & Moe - Salam!Bro & Moe - Pengenalan



Log Kehidupan...



Mak tak bangun! - Satu perjalanan yang panjang

Lebih kurang 5 petang, lepas Asar, Layla sms gwa. “Salam, lau leh, lam ni blk cpt. Mak suh blk ajak nuar skali, mak x leh bgn…”.

Puan Bariah Jaffar SubhanAllah, ‘mak tak boleh bangun?’. Sempit datang mendadak ke jantung gwa beberapa saat. Satu lagi ujian besar nak datang???

Dalam keadaan ayah sedang bergelut dengan tekanan kesihatannya sekarang ini, gwa tak rasa gwa ada motivasi tambahan lagi untuk berhadapan dengan sebarang beban ujian yang sama berlaku pada mana-mana ahli keluarga gwa yang lain, apatah lagi emak.

Sedaya mungkin gwa tendang jauh-jauh sebarang prasangka buruk dalam kepala gwa.

Gwa telefon semula Layla. Pun begitu, jawapan yang dia suarakan makin tidak meredakan hati gwa.

Kepala gwa yang sejak tadi semak dengan belukar idea tugasan cover annual report yang seterusnya, tiba-tiba jadi gurun. Kosong tiada aktiviti. Sel otak gwa beku.

“sori kite rase kite terpaksa balik awal la la ni…,” gwa skype kepada cik puan Nora; kebetulan kami sedang bermesej waktu Layla kirim smsnya tadi.

“Mak kite sakit, wassalam… permisi!” Tambah gwa.

Laptop, gwa tutup serta-merta. Masa amat tidak cukup rasanya petang itu. Kepada Lili gwa sampaikan maklumat cemas gwa. Dia faham tanpa soal jawab yang panjang. “Bawa payung, luar mahu hujan tau,” pesan Lili.

Gwa tinggalkan Great Goddard Advertising dengan rasa hati yang tidak tenteram. Macam yang Lili pesan, di luar, warna langit seksyen 14 Petaling Jaya, gelap mengumpul hujan.

Gwa cuba hubungi Anuar di Bangsar. Kalau-kalau dapat balik sekali dengan dia, jimat sikit masa.

Malangnya dia tak dapat keluar lagi. Terfikir gwa masa itu, betapa untungnya gwa ada majikan macam Lili dan Gordon.

Berlatarkan renyai petang, macam badut dalam komedi Charlie Chaplin gwa langkah ke stesen LRT Asia Jaya. Mungkin ada rekod jalan kaki yang gwa catat atau pecahkan petang itu, kalau ada orang yang merakamkannya. Kurang 15 minit gwa sudah tercegat di platform stesen, menanti tren ke Masjid Jamek.

Lumrahnya pada waktu begini, setiap platform menunggu tren ringan Putra, sama ada yang mengalir ke Kelana Jaya atau pun ke Taman Melati, akan menjadi tumpuan marhaen pejabat yang biasanya baru merdeka dari penjara kerja masing-masing.

Di Asia Jaya, gwa berdiri di celah-celah mereka, mencari posisi terbaik yang tepat dengan tempat berhentinya pintu tren.

Sekitar jam 5 lebih gwa dapat tren. Macam yang gwa jangka, orang punyalah ramai.

Di setiap titik henti; Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum, Bangsar, KL Sentral dan Pasar Seni, para musafir tren LRT petang yang masuk, jauh lebih ramai dari yang keluar.

Sesak, sendat dan padat. Macam-macam perisa dan warna udara terbit dalam perut tren itu bila dah bersesak- sempit. Kalaulah gerabak Putra ini buatannya getah-plastik, mungkin kembang dah agaknya jasad tren ini.

Menarik nafas panjang bukanlah satu idea yang baik pada waktu ini di tempat begini.

Menerusi tingkap tren gwa nampak gelap berat yang dikumpul langit Lembah Kelang sejak dari Asia Jaya tadi sudah mula merekah bocor sebaik saja menghampiri Bangsar. Gwa terfikir tentang penghadang masa berikutnya, yang bakal gwa perlu tempuh selepas ini; jem lalu-lintas.

Masya’Allah, telahan gwa tak lari jauh. Keluar saja dari perut bumi hentian Putra Masjid Jamek, sedang air langit petang 5 Ramadhan masih lagi berguguran, gwa dapati jalan Tun Perak di kedua-dua belah hala sesak dengan pelbagai gerabak beroda yang bergerak bak kura-kura sakit tapak kaki.

Suasana sekitar agak sempit dan padat dengan manusia, dengan payung, dengan gerai bazar Ramadhan dan dengan macam-macam lagi. Kalut dan sebok suasana persekitaran makin tidak membantu gwa untuk rasa tenteram.

Gwa pasti, gwa tidak akan upaya sampai ke rumah ikut waktu yang gwa mahu.

Renyai dari langit masih tidak nampak tanda mahu reda. Berkumandang kaset bacaan surah pra-buka puasa dari corong pembesar suara di Masjid Jamek.

Fikir dan fikir lagi, akhirnya gwa putuskan untuk berbuka dan Maghrib di Jamek dulu. Kemudian baru ambil bas balik. Pun begitu hati gwa tidaklah sedap sangat dengan keputusan itu.

Tapi, selepas hampir satu dekad (sejak 1999) berdepan dengan gelombang lalu-lintas bandaraya ‘lumpur’ ini, gwa percaya keputusan yang gwa ambil itu rasional.

Layla di rumah gwa kirimkan sms seterusnya. ‘Org insya’Allah b’tolak blik pas maghrib. jalan agak jem dan bas pun lambat time ni. Sampai dlam 8:30 insya’Allah’.

Gwa teringat, pagi tadi sebenarnya satu isi rumah gwa kesiangan tanpa sahur. Gwa sedar jam sudah 5:48 pagi, ada sekitar empat minit sebelum Subuh.

Mungkinkah dek sebab kosong sangat perutnya dan terus berpuasa jadikan mak begitu? kepala Gwa buat andaian.

Kurang gula dalam badan juga boleh buat seseorang itu pitam dan hilang daya, gwa pernah baca rasanya tentang perkara itu satu masa dulu. Lagipun diagnosis terkini mendapati tekanan darah emak sudah agak tinggi sejak akhir-akhir ini.

‘Sebab tulah kot agaknya’, kepala gwa berteka-teki.

Gwa sms semula Layla, suruh mak buka saja puasa, makan apa yang ada waktu itu. Yang penting selepas tu boleh makan ubat.

Tapi macam yang gwa jangka, sms Layla memberitahu yang emak tak mahu sebab bukan lama sangat pun waktu nak berbuka.

Hmm tak mengapalah, fikir gwa. Semasa tahiyatul masjid di Jamek, gwa pohon pada Allah SWT semoga apa pun ujian yang nak datang, sertakan ia sekali dengan kekuatan yang sepatutnya dan gwa pohon agar emak selamat. Amin!

Masa ade sekitar 30 atau 40 minit lagi sebelum buka puasa. Perkarangan Masjid Jamek seperti biasa pada zaman Ramadhannya, mulai penuh dengan pelbagai macam manusia yang muslim atau yang mengaku muslim; baik lelaki mahupun perempuan.

Ada sesi makan percuma untuk semua sebentar lagi.

Maghrib dan Isyak di Jamek tatkala Ramadhan adalah Maghrib dan Isyak yang meriah dan mewah sekali berbanding bulan-bulan lain.

Sudah lama gwa tidak berbuka bubur nasi di sini. Kali terakhir ialah Ramadhan tiga tahun lepas.

Masa itu gwa masih lagi bersama dengan Sepadu Komputer. Jadi, waktu Ramadhan, biasanya memang gwa sengaja bertolak dari stesen LRT Pandan Indah sekitar jam enam, sekalipun majikan gwa masa itu, Tuan Haji Ameran Jaffar, sudah beri izin awal untuk semua kakitangan Sepadu keluar jam 4:30 petang waktu bulan Ramadhan.

Jika jam enam dari Pandan Indah, dengan LRT, biasanya gwa akan sampai di Masjid Jamek sekitar 6:30 atau 6:40 petang. Ia waktu yang sedang elok sementara bersedia menunggu berbuka yang pada waktu itu sekitar jam 7:10 atau 7:15.

Hmmm… itu tiga tahun dulu. Hari ini, suasana tidak lari jauh rasanya dengan zaman lepas itu.

Bersama-sama para musafir dan marhaen kota yang lain; bangla, indon, afrika, cina, arab dan entah apa bangsa manusia lain lagi, gwa sekali lagi berkesempatan duduk di bawah kanopi buka puasa Masjid Jamek.

Deretan mangkuk di atas meja sudah sedia berisi bubur nasi (menu biasa), regunya ialah sebiji lai, tiga ulas tamar dan segelas teh atau kopi nipis. Menu yang lebih kurang sama seperti tiga tahun dulu. Biasanya, mungkin untuk mengelakkan jemu, menu buahan itu adakalanya akan bersilih ganti dengan menu kuih; samada dalam bentuk sebiji karipap ataupun bingka tepung.

Kepala gwa sebenarnya masih lagi tidak dapat lari dari memikirkan situasi di rumah ketika ini. Setiap kali andaian buruk datang, gwa cepat-cepat timbun dengan andaian-andaian yang baik pula. Entahlah, nak buat macam mana, dah gwa manusia, begitulah sifat gwa. Pasif, pesimis, optimis, reaktif datang bertukar ganti dalam kepala dan jiwa gwa.

Biasanya gwa tidak meninggalkan Masjid Jamek melainkan selepas lapan rakaat Tarawih. Tapi malam itu, gwa nampaknya kena tuang Tarawih gwa.

Alhamdulillah, gwa tidak ambil masa yang lama untuk dapat bas selepas sahaja selesai berbuka dan bermaghrib di Jamek. Petang sudah berubah malam tapi renyai dari langit masih lagi belum reda.

Jalan keluar dari pusat bandar masih lagi belum reda sesak dan sempitnya. Ia kesan sampingan biasa pada mana-mana susur jalan kenderaan di Lembah Kelang apabila cuaca basah dan lembab. Malam ini perjalanan 40 km yang gwa lalui adalah perjalanan 40 km yang paling panjang rasanya.

Dalam perjalanan, gwa sempat sms Layla,‘rasanya mak punye drah tinggi tu. Bila nuar sampai cuba ajak mak dapatkan rawatan, kalau mau pgi sg buloh bwk je ke sana. Tak yah tunggu org, jalan sesak la ni. Masih dlm bas, kat sg mas plaza.’

Gwa memang harap sangat yang Anuar boleh sampai dulu. Dengan pakai skuter, lalu-lintas yang sesak bukanlah satu masalah besar bagi dia sepatutnya. Cuma gwa lupa, di sesetengah tempat, seperti di Bangsar lokasi pejabatnya, hujan masih lagi turun. Bila gwa telefon, dia rupanya masih lagi tersekat di pejabat menunggu hujan reda.

Hmm tak mengapalah. Dalam hati gwa doa, minta keadaan emak tidak menjadi terlalu serius.

Sekitar jam sembilan lebih, gwa sampai ke Kota Puteri. Langit malam masih berterusan dengan renyainya.

Sewaktu melintas surau Al Falah, jemaah kelihatan sedang meneruskan rakaat Tarawih mereka. Gwa teringat yang gwa masih lagi belum Isyak pun.

Sebaik tiba di laman rumah, gwa tengok lampu kediaman gwa sudah tutup. Kancil Layla masih di tempatnya dan skuter Anuar tiada nampak ada di mana-mana. Gwa sedikit lega.

Sakit emak tidak merebak jadi serius agaknya, Alhamdulillah. Gwa tenang sedikit.

Melangkah saja masuk ke rumah, gwa dapati Layla, Zefri (suami dia) dan Zurin masih lagi belum tidur. Begitu juga dengan ayah, pun masih tidak tidur, baring dalam keadaan celik mengadap TV. Semua orang sedang ralit mengadap TV sedang Zurin ralit dengan keletahnya sendiri.

Emak sudah pejam tidur di atas toto, di ruang tamu, tempat biasa dia dan Layla dan zurin tidur.

Selesai sudahkan Isyak, gwa dapatkan emak dan tanya keadaan dia. Sambil itu Layla mencelah beberapa kali memberitahu apa yang patut gwa tahu. Zefri seperti biasa tiada sebarang suara, diam mendengar.

Emak mengadu tidak boleh buka mata. Kalau buka, dia seperti rasa mahu muntah dan tumbang.

Dalam hati gwa mula mengagak-agak yang ia mungkin ada kaitan dengan darah tinggi yang dia hidapi. Kemungkinan juga sebab perutnya terlalu kosong.

Semasa masuk ke rumah tadi gwa perasan pintu gril rumah nampak ada tanda macam mahu dicat semula dengan warna lain. Gwa tanyakan hal itu.

Rupanya masa sedang mengecat grill itulah (sekitar jam dua petang) pitam emak datang. Dia rasa nak muntah dan pening. Apabila dia bawa baring, mulai dari itu sampailah membawa ke waktu buka dan sehingga malam itu, kederatnya untuk bangun hilang.

“Tadi buka pun cuma makan kurma dengan air je,” bagitau Layla.

Selepas dinasihatkan dan dibantu, emak akhirnya bangun. Alhamdulillah dia bangun sendiri tanpa pelu dipapah seperti yang jadi pada ayah. Lega gwa rasa.

Perut emak, sekurang-kurangnya beralas juga dengan nasi malam itu. gwa tanya sama ada dia mahu tak ke klinik atau hospital malam itu, sebaik sudah dia makan.

Andaikata Anuar lambat sangat, gwa memang dah sedia untuk pergi dengan Zefri saja bawa emak. Hujan yang tadinya renyai, mula kasar rintiknya menimpa bumbung rumah.

Tiada reaksi balas dari emak akan syor gwa itu. Nampak dia pun tak minat nak pergi ke mana-mana. Letih mungkin, pun begitu dia mula nampak segar sikit berbanding sebelumnya.

“Besok ajelah kebal, pergi,” balas emak, kemudiannya. Gwa diam. Tidak ada keperluan untuk gwa paksa dia.

Anuar sampai menjelang 11 lebih. Gwa pun dah hampir nak lelap.

Alhamdulillah, satu perjalanan hidup yang agak panjang rasanya gwa tempuh petang Jumaat itu. Setakat ini penghujungnya masih lagi mampu gwa tempuh, walaupun dengan sedikit kepayahan.

Esok, lusa, gwa tak tau bagaimana pula laluan hidup gwa.

Pun begitu, sebarang perkara pun yang datang, gwa sentiasa harap, ia datang bersama dengan kekuatan untuk gwa. Gwa cuma manusia biasa, gwa bukan superman atau spiderman yang gagah perkasa.

Allahu’alam.



Komen

  Bantuan Penggunaan Textile



Perca Bacaan Rambang

(Koleksi petikan kata yang melintas pergi dan datang... bak kekelip di dalam tempurung ingatan gwa)



Hapus ISA!!!

www.flickr.com
kibodis' items Go to kibodis' photostream

Carian Kandungan Laman

Kategori

Pautan Luar

Bacaan Sampingan

Tidak lagi wujud!

Langganan RSS