Deprecated: Function set_magic_quotes_runtime() is deprecated in /home/kebaznet/public_html/log/textpattern/lib/txplib_db.php on line 14
Kebalz.Net: 'Fitnah' Tidak Lagi Sama Selepas Ini
Bro & Moe - AuratBro & Moe - JalanrayaBro & Moe - KertasBro & Moe - Salam!Bro & Moe - Pengenalan



Log Kehidupan...



'Fitnah' Tidak Lagi Sama Selepas Ini

Berlaku satu insiden pada aku, yang selepas daripada itu, menukar makna fitnah yang aku faham selama ini.

Satu polan berkata aib atau buruk bohong akan satu polan lain kepada satu atau sekumpulan polan lain. Aib atau jahat itu tak wujud sebenarnya. Ia palsu, tipu dan disiarkan dengan matlamat tertentu; sama ada demi laba polan yang memfitnah atau untuk kebinasaan polan yang difitnah.

Fitnah itu jahat. Ia lahir daripada kerja jahat.

Itu adalah takrif piawai kata fitnah yang bukan aku saja yang pakai, tapi pengguna bahasa Melayu yang lain juga. Sebut fitnah, demikianlah fahamnya.

Pekan seksyen 14, PJ, baik sebelum atau selepas runtuhnya Supermarket Jaya, sibuknya sama saja. Tiba masa makan tengah hari, kalau di belah jalan penuh dengan kereta mengendap ruang simpan, di kaki lima bangunannya penuh dengan kelibat orang lalu-lalang, duduk makan, jual buah, minta derma dan sebagainya. Nak ceritanya, pergerakkan waktu itu, di situ adalah perlahan, santai dan rapat-rapat.

Masa rehat hari kerja di pekan, macam itulah.

Nak jadi kisah, satu hari, pada masa begitulah aku ke CIMB di situ, mendepositkan cek. Habis saja urusan, kebetulan masa menghala keluar, melintas sepasang kakak bersembang santai sesama masing-masing. Berjalan balik ke ofis agaknya, selepas melayan selera di kedai mamak yang selang dua-tiga pintu dari situ.

Sebab dah betul-betul depan pintu, aku lepaskan mereka berjalan dulu. Kebetulan hala jalan aku sama dengan mereka, berjalanlah aku menunda di belakang. Nak memotong tak dapat.

Tak mengapalah, masa itu aku pun tak berhajat nak cepat.

Selang lima-enam langkah kemudian, dalam jarak tak sampai satu rantai di depan kami, seorang mamat segak, berkemeja dan berketayap putih menghala masuk ke dalam MyVi yang juga putih. Bila dah agak dekat baru aku perasan siapa.

Ustaz Mat Farid, pengetua KAFA masjid Bulat (Masjid Tun Abdul Aziz, seksyen 14 PJ), rupanya. Orang yang kerap ke masjid Bulat pasti kenal dia. Ustaz muda ini, antara sebilangan kecil daie yang bila bercakap, cakap dia orang mudah dengar, bermaklumat dan ada nas. Elok benar, pada akulah, kalau dia ini dibagi peluang masuk TV.

Bukanlah rapat sangat pun aku dengan dia, tapi bila dah selalu berselisih di masjid dan masing-masing cam muka masing-masing, maka rasa kenal mesra itu terbit mengikut lazim fitrah manusia.

Dalam pada nak masuk ke kereta, pandangan dia terhala ke arah aku. Macam biasa, resmi orang kenal bila berselisih; kalau dekat ucap salam, bila agak jarak begitu setakat angguk-senyum atau angkat tangan sajalah.

Begitulahpun yang kami buat; senyum dan angguk daripada dia berbalaskan angkat tangan takzim daripada aku. Dia dan Myvinya meluncur pergi, aku menyambung langkah di belakang kakak-kakak tadi.

Waktu itulah baru aku perasan, sembang meriah kakak berdua di depan aku itu macam terhenti sekejap.

“Lawa sangat ke kita hari ini?” Terbit semula suara salah seorang kakak tadi.

“Entah, terlebih pakai mekap kot pagi tadi,” balas yang seorang lagi.

“…ke engkau kenal abang tadi tu?”

“Taklah pulak.”

Ah, sudah! Kata hati aku, kakak berdua itu sudah salah terima dengan tingkah Ustaz Mat Farid tadi rupanya. Yakin sungguh gamaknya yang sedekah senyum mesra mamat muda tadi ditujukan untuk mereka.

Bila dah sedar begitu, aku di belakang jadi mati kutu. Nak tegur salah, tak tegur pun rasa tak kena juga. Sudahnya mereka berlalu sambil berterusan melayan salah tanggap yang jadi. Tak reti aku nak perbetul macam mana situasi itu. Nasib badanlah.

Allahu’alam, tidak pasti aku akan akhiran cerita kakak berdua itu hari itu.

Yang nyata, kembanglah hati masing-masing agaknya. Bukan senang orang segak muda yang entah dari mana datang tiba-tiba menitip senyum mesra dekat kita, bukan begitu? Kalau tidak pos ke FB pun mungkin boleh catat dalam diari peribadi sebagai ‘peristiwa menarik dalam hidupku hari ini’, agaknya.

Sepanjang berjalan balik ke pejabat di Dataran Dua 3 (3 Two Square), insiden tadi imbas-auto dalam kepala aku. Perhati selapis macam komedi, tapi bila semak balik lapis demi lapis ia berpotensi jadi skrip standard drama swasta melayu yang kebanyakan kita biasa tengok dekat TV. Yang biasanya berakhir dengan air mata dan binasa rumahtangga.

Yang membaca tulisan ini boleh berimaginasi sendiri bagaimana insiden ringkas di atas boleh membawa natijah sosial yang sangat negatif. Kena pulak di zaman maklumat boleh terbang dengan sekadar sentuh-sentuh jari saja macam sekarang ini.

Harap-harap ia tak pergi melalut sampai ke tahap itu. Semoga kakak-kakak berkenaan, tuan ustaz dan diri aku sendiri dilindungi Allah ta’ala daripada fitnah yang bukan-bukan di sepanjang hidup kami.

Bertolak daripada situlah timbul dalam fikiran aku akan persoalan fitnah tadi. Ia tidak semestinya bermula dengan kehendak jahat rupanya. Sebaliknya, dalam kes di atas ia juga boleh tercetus ekoran sikap baik pada situasi yang tidak sangka-sangka.

Pelajaran daripada insiden itu, berhati-hati dengan dengan apa yang kita lihat atau lalui, yang kemudian ingin kita khabarkan kepada orang lain. Kita mungkin rasa kita mengalami pengalaman A, tapi sebenarnya yang berlaku ialah B. Kalau hati-hati tiada, maka fitnah berpotensi berlaku.

Pelajaran kedua, khusus buat aku yang menulis ini, bila ada orang lawa atau tak lawa sekalipun sedekah senyum ke kita, toleh dulu kiri kanan depan belakang, jangan main sambut saja. Kalau sungguh untuk kita tak mengapa, buatnya untuk orang lain yang ada di tepi kita, tak tebal berminyak muka jadinya. Oleh itu, berhati-hati.

Akhir ayat, agar tulisan ini ada lebih manfaatnya, amalkanlah permintaan ini setiap kali mengakhiri solat. Seelok-eloknya sebelum salam.

“Ya Allah, lindungi kami (dan keluarga kami) daripada fitnah Dajjal Al Masih. Ya Allah, lindungi kami (dan keluarga kami) dari finah kehidupan dan kematian.” Ameen, Allahu’alam.

Yang baik dari Allah, yang buruk dari kelemahan diri aku sendiri.?



Komen

  Textile help



Perca Bacaan Rambang

(Koleksi petikan kata yang melintas pergi dan datang... bak kekelip di dalam tempurung ingatan gwa)



Hapus ISA!!!

www.flickr.com
kibodis' items Go to kibodis' photostream

Carian Kandungan Laman

Kategori

Pautan Luar

Bacaan Sampingan

Tidak lagi wujud!

Langganan RSS